Saudara Ramli bin Jusoh Kampung Telekong
Posted by tele | Posted in
Pada post kali ini penulis ingin menulis khusus untuk mengingati salah sorang sahabat karib penulis yang telah pun kembali ke Rahmatullah pada 11 Februari 2009. Beliau ialah Saudara Ramli bin Jusoh.
Seperti yang penulis telah catatkan dalam post nombor 4 yang lalu, Ramli adalah salah seorang daripada generasi pertama yang berjaya memecah kekangan minda orang kampung terhadap pentingnya memberi pelajaran kepada anak-anak.
Lihat sedutan dibawah:
Dari Kampung Telekong, sekumpulan kira-kira 15 pelajar menyambungkan pelajaran ke sekolah menengah Kampung Pek. Antara mereka yang penulis masih ingat ia-lah:
Ramli bin Jusoh (Paksu Jusoh) - Telekong
Nordin bin Jusoh (Pakda Soh) - Telekong
Muhamad (Che Din) bin Shafei (Paksu Sepe'i)- Dalam Huma
Arifin bin Awang Nor - Dalam Huma
Nik Mat Hatta - Che Wal
Wahi - Che Wal
Ismail bin Rejab (Pok Jab) - Che Wal
Ramlah binti Yaakob - Telekong
Rohani binti Mahmud - Dalam Kerawat
Omar bin Muhamad -Dalam Kerawat
Ramli adalah anak kepada Paksu Jusoh dan Maksu Meknab. Beliau ada lima beradik seibu sebapa. (Beliau juga ada seorang kakak dan seoeang abang yang lain, samada satu ibu atau satu bapa tidak dapat penulis pastikan.) Daripada lima beradik ini, empat lelaki dan seorang perempuan. Dia anak yang kedua. Adik beradik beliau ialah:
Rosdi
Ramli
Khazanah
Azmi
Kamil
Bapa beliau iaitu Paksu Jusoh memang anak tempatan Telekong dimana bapanya ialah Tok Maksah Tokchik Yam. Manakala ibunya iaitu iaitu Maksu Meknab bukan asal dari Telekong, mungkin dari Machang ia-itu di sekitar lepas simpang jalan Machang - Tanah Merah ikut jalan lama.
Pada peringkat awal Paksu Jusoh dan keluarga tinggal dalam kerawat bersama ibu mertuanya. Kemudian kira-kira tahun 1962 atau 1963, Paksu Jusoh membuat rumah sendiri dipinggir Bendang Jambu. Lokasi rumah beliau agak terpencil iaitu bersetentang dengan tanah Haji Mat ayah kepada Hashim, berhampiran sekolah. Untuk pergi kerumah ini, kita kena berjalan melalui depan rumah Haji Mat dan menyeberang Sungai Geh. Selepas menyeberangi sungai ini barulah sampai ke rumah Ramli. Beberapa tahun kemudian, bapa Ramli membuat rumah baru di tapak yang ada sekarang ini.
Apabila rumah baru ini siap, barulah semua peralatan yang ada di rumah nenek Ramli di Dalam Kerawat dipindahkan sepenuhnya. Ramli dan penulis pada masa itu berumur kira-kira 10 atau 11 tahun. Sudah menjadi lumrah kami saling bantu membantu antara satu sama lain dalam apa juga keadaan. Atas lumrah itulah, suatu hari selepas habis waktu sekolah Ramli mengajak penulis membantunya untuk memindahkan sebuah almari lauk dari rumah neneknya ke rumah barunya.
Jarak daripada Dalam Kerawat ke Kampung Petanding jauhlah juga. Kami berdua pun mengusung almari tersebut. Beratnya tidak berpadanan dengan tenaga kami berdua namun oleh kerana tekad yang kuat, kami usung juga. Usung sekejap, kami berhenti. Lepas penat, usung lagi dan berhenti lagi dan usung lagi berulangkali. Sampai satu tahap, kepenatan kami dah tak terperi lagi. Lidah pun dah keluar terjelir.
Semasa kami terkial-kial mengusung almari tersebut, datang seorang apek penjual aiskrim. China apek ini tiap-tiap hari lebih kurang pukul 2 petang akan sampailah ke kampung ini menjaja aiskrim. Penulis fikir pasti apek ini kasihan melihat kami yang tidak terdaya lagi mengusung almari telah menawarkan pertolongan untuk menghantar almari tersebut hingga ke rumah Ramli. Apalagi kami pun sangatlah gembiranya bila apek aiekrim itu sudi membantu.
Lalu apek itu bersama-sama penulis dan Ramli pun mengangkat almari tersebut dan diletakkan diatas peti aiskrim yang terikat diatas basikal. Ramli dan penulis berada di kiri dan kanan basikal untuk mengampu almari supaya tidak jatuh manakala apek pula menyorong basikal. Kami bertiga menyorong basikal itu hinggalah sampai kerumah Ramli. Bila sampai ke rumah, ibu Ramli amat terkejut melihat kami, lebih-lebih lagi seorang China apek aiskrim yang dengan tulus ikhlas membantu kami yang pada waktu itu masih kanak-kanak lagi. Maksu MeKnab berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada apek itu atas pertolongannya dan beliau telah membeli sejumlah aiskrim untuk habuan kami. Sehingga hari ini, telah lebih 40 tahun peristiwa ini berlaku, penulis tetap mengkagumi sifat tulus apek aiskrim tersebut membantu kami walau pun kami pada waktu itu berusia hanya 10 atau 11 tahun.
*************
Jadinya perhubungan antara Ramli dengan penulis bertaut semenjak kami masih anak-anak lagi sebagai pewaris kepada hubungan antara kedua ibu-bapa kami. Kami bersekolah dalam satu kelas sejak daripada darjah satu hingga ke tingkatan tiga. Pergi sekolah bersama dan balik pun bersama.
Semasa dalam tingkatan tiga, lebih kurang enam bulan sebelum pepereksaan SRP, setiap malam penulis mengulangkaji pelajaran bersama dirumah Ramli. Maksu MekNab melayan penulis sama seperti anaknya sendiri. Makan anaknya, maka makanlah penulis. Semasa mengulangkaji pelajaran, jika kami terasa amat tension, kami mengajak abang Rosdi meneman kami untuk menyuluh ikan di Sungai Geh. Bila sudah penat kami balik tidur.
Semasa di sekolah menengah rendah, kami berada dalam satu kelab atau rumah. Kami mengambil bahagian dalam sukan bola sepak. Penulis merupakan penjaga gol tetap pasukan manakala Ramli bermain di pelbagai posisi. Ada masanya beliau mengganti tugas penulis sebagai penjaga gol.
Apabila keputusan SRP diumumkan, kami semua seperti senarai nama diatas telah lulus dengan baik dimana Ramli, Penulis, Ramlah, Rohani, Ismail, Mohamad dan lain-lainnya menduduki tingkatan empat di Sekolah Menengah Hamzah, Machang. Semasa di sekolah baru ini, penulis dengan Ramli masih berada dalam kelas yang sama, manakala Ramlah dan Rohani dalam kelas yang lain.
Bagaimana pun tidak lama selepas berada di sekolah baru ini, Ramli telah dihantar oleh ibunya tinggal bersama-sama emak saudaranya di Machang. Jadi berpisahlah kami di separuh jalan tetapi masih bersama diwaktu persekolahan. Tinggallah penulis bersama Muhamad, Ramlah dan Rohani setiap hari menunggu bas untuk pergi dan balik kesekolah dari kampung.
Selepas tamat SPM, masing-masing membawa diri ikut kemampuan sendiri. Ramli terus tinggal dengan emak saudaranya. Tidak lama kemudian, sekitar tahun 1970 beliau pergi ke Kuala Lumpur. Dan perhubungan kami terputus buat seketika. Melalui Paksu Jusoh, penulis dimaklumkan Ramli telah pun berjaya mendapat kerja dan bertugas di Seberang Perak. Pada masa itu penulis masih di kampung dan mendapat kerja sementara di RRI (Institut Penyelidikan Getah).
Pada tahun 1971, penulis menyertai program Belia Pembena Negara di Dusun Tua, Selangor. Tamat kursus di Dusun Tua, penulis mendapat jawatan di Felcra. Beberapa bulan kemudian, penulis dapat menghubungi Ramli melalui surat. Penulis dimaklumkan oleh Ramli bahawa dia juga bertugas di Felcra. Rupanya nasib kami masih lagi serupa sehingga waktu ini. Dia bertugas di Seberang Perak manakala penulis pula bertugas di Pahang.
Di Pahang, penulis di tempatkan di Jerantut. Tetapi pada waktu itu berlaku banjir besar di Pahang dan penulis tidak dapat sampai ke Jerantut dan diarahkan bertugas sementara di Felcra Berhala Gantang, Temerloh, satu tempat jin bertendang! Selepas banjir surut, penulis berpindah ke Jerantut. Selepas hampir dua tahun di Jerantut, penulis diarahkan bertugas berhampiran Kuantan Pahang. Selepas di Pahang, bertukar pula ke Trengganu. Dalam tempuh tiga empat tahun ini perhubungan kami terputus lagi kerana kesibukan tugas masing-masing.
Semasa berugas di Kuala Brang, Trengganu, melalui pemandu kenderaan yang baru bertukar dari Pahang, penulis mendapat maklum bahawa Ramli berada di Berhala Gantang, Temerloh iaitu tempat penulis pernah bertugas dahulu. Maka dari situ, perhubungan antara kami bersambung semula dengan masing-masing berutus surat.
Tidak lama di Berhala Gantang, penulis dimaklumkan oleh Ramli bahawa dia telah meletakkan jawatan dari Felcra dan akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan iaitu sebagai kontraktor. Dia kembali ke kampung dan mengadakan perkongsian dengan bapa saudaranya sebagai kontrakor pertanian. Bapa saudaranya telah berjaya membida kontrak memajukan ladang Felcra Bukit Sireh. Dengan pengalaman perladangan yang dimilikki oleh Ramli sepanjang perkhidmatannya sebagai Pembantu Luar Felcra, beliau telah berjaya membangunkan ladang Felcra Bukit Sireh dengan sempurna.
Selain bidang pertanian, beliau juga melaksanakan kerja-kerja pembinaan dengan memperolehi beberapa kontrak. Usaha gigih beliau memang membuah hasil dimana beliau mampu memiliki kereta mercedes benz 230D. Dan rasanya beliaulah anak Telekong yang pertama berjaya memiliki kereta jenis itu. Jika tidak salah ingatan penulis, nombor prndaftaran kereta itu ialah DM 90.
Mungkin kerana sibuk dengan urusan kerja seharian, beliau semacam tidak memberi perhatian untuk mencari teman hidup. Sehingga penulis bertukar balik ke Kelantan pada tahun 1985 iaitu pada era kemuncak kejayaannya, beliau masih membujang sedangkan penulis dan semua rakan-eakan seangkatan lelaki perempuan telah pun mempunyai anak. Pada masa itu umur kami telah pun berada dihujung 30han.
Penulis difahamkan Ramli pernah bertunang dengan seorang pelatih jururawat. Tunang beliau ini sebenarnya junior kepada kami. Kakak kepada tunang Ramli juga adalah rakan sekelas kami semasa di tingkatan satu hingga lima dahulu. Bagaimana pun oleh kerana tempuh pertunangan yang panjang untuk menunggu tamat kursus jururawat, hubungan pertunangan mereka terputus. Mungkin kecewa yang amat mendalam daripada berputus tunang itu, beliau melupakan sementara waktu soal berumahtangga dan menumpukan sepenuhnya kepada kerjaya.
Bagaimana pun sekitar tahun 1990, beliau telah bertemu jodoh dengan gadis sekampung iaitu anak kepada Mat Adam Tukang Gunting. Pada masa itu penulis telah pun bertukar tempat bertugas ke Trengganu pula. Dikhabarkan jodohnya tidak lama, akhirnya beliau berpisah. Penulis tidak tahu samada beliau dikurniakan anak atau tidak dari perkahwinan ini. Selepas berpisah dengan isterinya, Ramli hidup membujang kembali.
Setelah beberapa lama hidup sendirian, beliau telah mengidap penyakit lelah yang semakin lama semakin teruk. Akhirnya beliau berpindah ke rumah kakaknya, Mek Yah di kampung Paloh Rawa. Beliau juga mengidap beberapa penyakit lain lagi seperti buah pinggang dan juga jantung.
Dan beliau akhinya pergi mendahului rakan-rakan yang lain menemui Tuhannya pada 11 Februari 2009 di hospital.
Semenjak penulis berpindah ke Trengganu mulai tahun 1990 hinggalah beliau meninggal dunia, kami tidak pernah lagi bertemu. Walau pun begitu, setiap kali penulis berhubung dengan abang atau saudara mara di kampung, penulis tidak akan lupa bertanya khabar berita mengenai Ramli.
Begitu juga dia, setiap kali bertemu saudara mara penulis, beliau tidak lupa bertanya perkembangan diri penulis.
Pada masa kematiannya penulis menerima berita dalam masa yang terdekat, tetapi sayangnya penulis tidak dapat balik untuk menziarahinya. Memang sedih dan pilu. Tetapi seperti ketetapan Allah, yang bernyawa tetap akan kembali kepadaNya.
Ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun, ampunilah segala kesalahan saudaraku Ramli bin Zainab. Cucurilah rahmat Mu dan tempatkanlah beliau dikalangan hamba Mu yang soleh.
Amin.
saya anak wahi
Salam. Terima kasih banyak kerana menulis tentang ayah saya, Che Rumle bin Jusoh ni. Sedikit sebanyak mengubat rindu saya. Areah dikurniakan 2 cahaya mata lelaki. Saya y sulung, Iqbal berusia 32 tahun dan adik saya Izzat 28 tahun. Saya benar2 nak berkenalan dan berjumpa dgn penulis. Mohon kalau penulis berkesempatan utk tgk post ni lagi, mohon jasa baik penulis utk menghubungi saya di 0179013623. Harap dapat berhubung secepat mungkin. Terima kasih