Rupanya satu generasi peneroka Kampong Telekong telah pun tiada
Posted by tele | Posted in
Penulis berkesempatan balik ke Kampong Telekong daripada 13 Mac hingga 17 Mac 2009, selama lima hari. Sejak lebih 15 tahun lalu, inilah tempuh paling lama penulis berada di kampong dimana selalunya hanya dua atau tiga hari sahaja.
Tujuan penulis balik ke Kampong Telekong adalah sebagai memenuhi jemputan balas sepupu penulis yang melangsungkan perkahwinan anak angkatnya. Sebelum ini beliau telah pun memenuhi undangan penulis menghadhiri majlis perkahwinan anak penulis. Kali terakhir sebelum 13 Mac 2009, penulis balik ke Telekong pada tahun 2005.
Apabila sampai di rumah sepupu penulis ia-itu Maksu Timah penulis dapati ramai sahabat lama penulis sedang membantu kerja-kerja yang berkaitan dengan majlis itu. Semuanya ceria apabila bertemu penulis maklumlah telah lama tidak berjumpa.
Apa yang paling ketara pada pengamatan penulis, kumpulan yang dilihat sebagai "orang tua kampung" semuanya sebaya atau lebih tua sedikit daripada umur penulis. Sudah tiada lagi golongan tua yang sebenarnya seperti yang selalu terbayang dalam minda penulis. Tiada lagi Pakda Junuh, tiada lagi Pakda Soh, tiada lagi Paksu Musa, tiada lagi Mat Bachok, atau Paktengah Berahim.
Yang mengambil alih "post" mereka ini ialah Mat Tahir, Wahab, Pak Mezah, Mat Nor, Mamat Pesah, Mamat Tok Amoh, Musa Paknik Lah, Peli Paklah Setawa dan yang usia sebaya mereka.
Rupanya satu generasi peneroka Kampong Telekong telah pun tiada. Yang tinggal hanya dua orang sahaja lagi ia-itu Paksulah Mek Setawa dan Paknik Lah Maksu Baru. Sayu dan hiba. Sayu kerana teringatkan aura golongan bapa-bapa ini semasa menghadapi kegetiran membangunkan kampung dan terasa hiba bila menyedari kini, angkatan sebaya penulis yang menduduki ranking paling atas; bermakna golongan kamilah yang dipanggil "orang tua kampung" sekarang ini. Tetapi aura golongan bapa-bapa kami tidak boleh ditandingi oleh golongan kami sendiri.
Selain perubahan ranking dalam kampung, terdapat juga sedikit sebanyak perubahan dari segi sosial dimana pada masa ini telah kelihatan rumah-rumah yang baru dibina diperbuat daripada konkrit berbanding dengan rumah kayu. Rumah kayu yang ada semuanya yang lama-lama belaka. Pada asasnya pertambahan rumah batu ini berpunca daripada mereka yang bekerja disektor awam yang semuanya menggunakan kemudahan pinjaman perumahan kerajaan atau pun pinjaman personal Bank Rakyat.
Terdapat sedikit pelebaran jalan masuk dimana ada dibena bahu jalan sebelah kiri serta longkang konkrit sehingga ke madrasah Kampong Petanding. Di simpang masuk ke kampung pula pehak Majlis Daerah Kuala Krai ada membina empat unit gerai untuk digunakan sebagai premis perniagaan.
Suatu penemuan yang pada pengamatan penulis, agak baru ialah, setiap kedai kopi di kampung ini dipenuhi oleh pelanggan veteran tidak kira pada waktu pagi, petang atau awal malam. Bila di pandang dari jalan, kelihatan golongan kopiah putih atau kepala putih (beruban, samalah seperti penulis) sedang seronok bersidai. Pada masa penulis berada di kampung dahulu, fenomena ini sukar dilihat. Mungkin Dr Che Sepian daripada USM boleh beri sedikit komen tentang "gejala" ini.
Pada 17 Mac 2009 penulis sekali lagi menghadhiri majlis kenduri kahwin seorang lagi sepupu penulis iaitu Maksu Mek Imah Dalam Huma. Semasa dalam perjalanan ke rumah beliau, penulis dapati di kawasan Lebor telah dipenuhi rumah. Penulis difahamkan tapak rumah-rumah tersebut adalah tanah rizab Sungai Geh. Tidak mengapalah walau pun tanah rizab, sekurang-kurangnya ia dimanafaatkan dengan baik.
Pada masa penulis remaja dahulu, kawasan ini sangat ditakuti kerana dikatakan tempat berhantu. Terdapat sebatang pokok tualang yang amat besar dan tinggi tempat hantu bergayut. Tetapi pokok itu telah pun tidak penulis nampak lagi.
Suatu yang amat penulis gembira pada majlis perkahwinan ini ialah tuan rumah telah menjemput satu pasukan kesenian membuat persembahan mereka sepanjang hari bermula pukul 12.30 tengahari hingga malam. Penulis pada mulanya bercadang bertolah balik ke Pahang kira-kira pukul 10.30 pagi, tetapi bila dimaklumkan ada acara silat, maka penulis menundanya kerana ingin turut menyaksikan acara yang akan dipersembahkan.
Pasukan kesenian ini dibawa dari daerah Machang. Ianya merupakan gabungan persembahan pelbagai acara kesenian Kelantan iaitu seni silat, tomoi Siam, dikir barat dan main peteri. Penulis difahamkan kumpulan ini pernah dibawa hingga ke Perancis membuat persembahan kebudayaan Melayu Kelantan. Sebenarnya lebih kurang 30 tahun penulis tiada kesempatan menyaksikan secara langsung acara kesenian anak negeri Kelantan ini. Ditambah pula Makcik isteri penulis pun ingin juga menyaksikan. Bahkan sampai melatah-latah melihat gelagat lawak orang bersilat.
Diantara keistimewan kumpulan ini ialah mereka mempersembahkan silat yang disertai oleh gadis gadis muda. Dengan pakaian yang amat sopan, pasangan silat gadis ini memukau penonton dengan ketangkasan dan kelembutan tarian silat mereka.
Selain itu satu lagi kelebihan kumpulan ini ialah alat muzik mereka. Penulis berkesempatan meninjau dari dekat dan mendapati peralatan mereka terdiri daripada gabungan alat muzik untuk gendang silat dan alatan untuk wayang kulit. Daripada gabungan ini mereka mampu mempersembahkan lagu-lagu instrumental lama atau baru atau irama hindi. Alat muzik anchor ialah serunai. Jika ada yang berminat dengan kumpulan ini, bolehlah berhubung melalui PIBG Sekolah Kebangsaan Telekong, yang tahu alamat mereka.
Oleh kerana kekangan perjalanan jauh yang akan dilalui, penulis bersama isteri dan seorang cucu bertolak balik ke Pahang pada pukul 2.15 petang, tiga jam lebih lewat daripada jadual asal walau pun majlis bertambah hangat.
Perasaan sayu, hiba dan gembira berbaur daripada percutian ini.
Comments (0)
Catat Ulasan