Askar Jepun yang membena jambatan kayu diatas Sungai Geh

Posted by tele | Posted in

Kampung Telekong, khususnya komponen kampung kecil didalamnya mulai keluar dari era kegelapan mulai awal tahun 1980han. Sebelum itu, ia sepertimana keseluruhan kampung lain dalam negara ini berada dalam keadaan tradisional dari semua aspek seperti budaya, ekonomi, infrastruktur, komunikasi dan sebagainya. Semua kemudahan asas untuk menjana ekonomi atau pun menggerakkan aktiviti sosial diusahakan sendiri oleh penduduk. Tiada bantuan ketara yang disumbangkan oleh kerajaan.

Dalam post kali ini penulis akan mencatatkan mengenai infrastruktur asas yang paling penting kepada penduduk Kampung Petanding dan Dalam Kelab iaitu jalan yang menghubungkan kedua -dua kampung ini dengan Kampung Dalam Kerawat dan khususnya ke dunia luar.

Sebelum adanya jalan yang berturap premix sebagaimana sekarang ini, jalan yang ada hanyalah jalan tanah yang asalnya dibina oleh pembalak yang menghubungkan Kampung Dalam Kelab melalui Kampung Petanding, Dalam Kerawat dan seterusnya ke jalan raya Kuala Krai/Machang.

Balairaya - disini penulis pernah menganjur majlis perjumpaan dengan Pegawai Hutan Jajahan Machang dan JPS bagi memajukan Bendang Becah batu Besar dan Bukit Kechik.

Semasa pemerintahan tentera Jepun, ada di ceritakan oleh orang-orang tua bahawa tentera Jepun ada membena jambatan kayu diatas Sungai Geh. Penulis sendiri sempat menyaksikan saki baki bahan binaan jambatan itu seperti tiang dan lain-lainnya. Saiz tiang yang masih berbaki pada waktu itu berukuran 18 inci persegi. Jambatan itu dibina di sebelah kanan jambatan sekarang ini kira-kira jarak 10 meter kebahagian hilirnya. Penulis juga masih ingat ada sebatang kayu balak di hadapan rumah Mek Chong (sekarang ini rumah itu dimiliki oleh arwah Pakchik Zakaria kedai runcit) yang dibiarkan disitu hingga reput dengan sendirinya.

Selepas jambatan yang dibina oleh tentera Jepun itu runtuh kerana dimakan usia, penduduk terpaksa menggunakan titi yang bina diats perumukaan air sungai untuk menyeberang Sungai Geh. Penulis percaya, titi yang lebarnya 18 inci ini adalah sisa bahan binaan jambatan Jepun itu kerana saiznya sepadan dengan saiz tiang masih ada.

Sekitar tahun 1965 ada usaha yang dikepalai oleh beberapa orang kuat kampung yang penulis ingat terdiri daripada Paksu Lah Maksu Baru, Pak Da Soh, Tok Lebai Daud (Tok Perdana) dengan kerjasama semua penduduk telah membena jalan bermula daripada simpang perkuburan hingga ke kawasan depan sekolah. Usaha membina jalan ini dibuat secara gotong royong dan dijalankan disebelah malam selepas waktu Isyak. Hasil daripada usaha gotong royong ini terbinalah sebatang jalan tanah yang lebarnya lebih kurang dua belas kaki dan selesalah untuk kegunaan basikal.
Kelinik Desa - dibangunkan sekitar tahun 1970han

Selesai membina jalan utama itu, mereka juga membina sebatang lagi jalan bermula dari simpang madrasah Kg Petanding merentasi Bendang jambu hingga ke Hulu Geh.

Walau pun begitu, penghalang utama kepada kesempurnaan jalan ini ia-lah untuk menyeberang sebatang parit di Kampung Petanding, merentasi Sungai Geh dan sebatang lagi parit berhampiran pagar sekolah. Bagi menyeberangi kedua-dua parit ini hanya batang kelapa digunakan sebagai titi. Manakala untuk menyeberangi sungai pula telah dibina titi seperti yang penulis ceritakan diata tadi.

Dengan kedhaifan jalan yang ada ini menyebabkan banyak halangan yang terpaksa ditempuhi oleh penduduk. Pertamanya bila tiba musim hujan, basikal tudak boleh digunakan kerana jalan becak. Terpaksalah berjalan kaki sahaja untuk sampai kejalan raya. Begitu juga untuk memunggah keuar hasil tanaman seperti getah, terpaksalah diangkut dengan basikal berkali-kali. Yang sangat menyedihkan ialah bila ada kes-kes penduduk yang sakit teruk yang perlukan rawatan dihospital, maka mereka ini akan diusung menggunakan tandu dari rumah hinggalah ke jalan raya.

Lebih kurang tahun 1967, seorang yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Dalam Kerawat bernama Pakchik Bakar Makchk Limah telah membuka era era baru dalam aspek ekonomi kepada seluruh warga Telekong. Beliau telah mengadakan rundingan dengan pengurus Estet Pasir Gajah untuk menjalankan perniagaan menjual susu getah - lateks - pemilik kebun getah di Telekong kepada Estet Pasir Gajah. Rundingan itu telah membuahkan hasil dimana pengurus Estet Pasir Gajah, seorang warga negara British bersetuju membeli lateks dari Telekong melalui Pakchik Bakar.

Maka dari saat itu, bermulalah urus niaga lateks dan Pakchik Bakar telah mendapat pendapatan yang baik. Beliau telah berjaya membeli sebuah kenderaan pick-up iaitu jenis Datsun yang digunakan untuk mengangkut lateks dari Telekong ke Estet Pasir Gajah. Aktiviti ekonomi orang kampung pun berubah sedikit dimana jika sebelum ini rutin harian menoreh bermula dari pukul 6.00 pagi akan berakhir sekitar jam 4.00 atau 5.00 petang, kini dengan menjual lateks, kerja mereka selesai sekitar jam 1.00 tengah hari. Masa selebihnya boleh ditumpukan kepada kerja-kerja lain pula.

Menyedari kesulitan penoreh untuk menghantar lateks ke stesen pengumpulan yang dibuat berhampiran pagar sekolah, ditebing parit dekat rumah Haji Mat, Pakchik Bakar telah berunding sekali lagi dengan Pengurus Estet Pasir Gajah untuk memdapat sumbangan pihak estet membina tiga buah jambatan yang menghubungkan Dalam Kerawat terus ke Kampung Petanding dan kawasan sekitarnya. Rundingan itu membuahkan hasil dan tidak lama kemudian, terbinalah tiga unit jambatan diatas Sungai Geh, parit Bendang Besar dan Parit di Kampung Petanding.

Pembinaan tiga buah jambatan ini memberikan manafaat yang sangat besar kepada kehidupan penduduk. Jika sakit, tidak perlu lagi memikul tandu untuk dihantar kehospital. Hasil pertanian pun boleh diangkut dengan lori. Bahan binaan rumah tidak perlu lagi diangkut dengan basikal atau dipikul.

Inilah jasa besar yang diusahakan oleh Pakchik Bakar untuk faedah seluruh penduduk Kampung Telekong. Ia memberi kesan kepada kehidupan sosial yang lebih baik. Sebelum adanya jambatan, penduduk kampung hidup dalam serba kepayahan. Umpamanya bila tiba musim tengkujuh, titi yang dibina di Sungai Geh akan tenggelam dan putuslah perhubungan.

Mungkin pada masa itu dan hingga kini, tidak ramai yang menyedari betapa besarnya sumbangan Pakchik Bakar kepada masyarakat. Begitu juga dengan beberapa orang tua kampung yang berusaha sendiri dengan seberapa yang termampu untuk memperbaiki atau mengusahakan membina kemudahan asas dalam kampung.

Sebenarnya masyarakat yang lama lebih tinggi daya juang dan jati dirinya dalam usaha memenuhi keperluan hidup. Mereka berikhtiar sendiri tanpa menunggu pihak lain datang memberi belas kesian.

Semoga Allah mencucuri rahmatNya keatas peneroka-peneroka kampung yang gigih yang telah pun pergi menemuiNya terlebih dahulu.

Comments (0)