Sungai Geh sumber ekonomi Telekong
Posted by tele | Posted in
Di dalam Kampung Telekong, mengalir sebatang sungai kecil dari arah timur bermula daripada kaki Bukit Kecil, merentasi tengah-tengah kampung kearah barat dan menyimpang ke selatan membelah kampung dan bersatu dengan Sungai Nal didalam Estet Pasir Gajah.
Sungai ini purata lebarnya kira-kira 15 meter adalah nadi ekonomi bagi seluruh warga Telekong. Ia merupakan sumber bekaalan air untuk mengairi beberapa kawasan bendang padi yang menjadi denyut nadi ekonomi penduduk.
Bermula daripada sumbernya di kaki Bukit Kecil yang merupakan hutan tadahan hujan, mengalir daripada suatu lubang dicelahan batu-batan, keluarlah air yang keramat itu memberi rahmat kepada warga Telekong sejak beratus tahun lampau.
Sungai Geh. Itulah namanya yang diberikan kepada sungai bertuah ini. Sungai ini membekalkan sumber air kepada beberapa buah bendang padi ia-itu di sepanjang tebing kiri dan kanannya. Dibahagian tebing sebelah kirinya, ia membekalkan air kepada Bendang Hulu Geh dan Bendang Jambu, ditengah-tengah Kampung Telekong.
Di bahagian sebelah kanannya ia membekalkan air kepada Bendang Dalam Huma, Lebor dan seterusnya Bendang Besar.
Bagi tujuan menyalurkan bekalan air kepada semua bendang-bendang diatas itu, seluruh warga Telekong yang terdiri daripada Kampung Petanding, Dalam Kerawat dan Dalam Huma bergotong-royong membina saliran atau disebut parit bermula daripada sumber air di hulu Sungai Geh. Parit dibina dikiri dan kanan tebing Sungai Geh ini hinggalah merentasi bendang-bendang berkenaan. Tiada sebarang peruntukan daripada kerajaan. Penduduk sendiri membina dengan kudrat tulang empat kerat mereka menggunakan cangkul, penggali dan guni untuk membuat laluan parit ini. Panjang setiap satu parit ini daripada permulaan hingga akhir ialaj kira-kira lapan kilometer setiap satu.
Untuk membolehkan air sungai ini masuk kedalam saliran parit yang telah dibina ini, penduduk telah membuat sekatan atau ban atau disebut juga sebagai tandak didalam sungai. Ban ini diperbuat daripada tanah yang dipunggah daripada tebing kiri kanan sungai. Tinggi ban ini bersamaan dengan paras tebing. Apabila takungan air memenuhi kawasan yang di tandak, ia akan melimpah kedalam parit dan disalirkan terus ke sawah yang berkenaan.
Oleh kerana ban ini diperbuat daripada tanah sebagai bahan asas, pada setiap musim tengkujuh ianya akan pecah atau mengalami kerosakan. Dan setiap kali rosak, ban ini akan diperbaiki semula oleh penduduk kampung.
Pada tahun 1967, penulis masih ingat lagi ketika kami semua penduduk kampung sedang bertungkus lumus memperbaiki ban yang rosak, tiba-tiba muncul seorang anak muda ditemani Tok Penghulu Halipah menjengok melihat apa yang sedang kami semua lakukan. Orang muda tersebut ialah Tengku Razaleigh bin Hamzah. Beliau datang berjalan kaki dari arah Dalam Huma.
Apabila menyedari kehadhiran beliau, semua penduduk kampung berhenti bekerja dan pergi bersalam dengannya.
Tengku Razaleigh kelihatan berbual-bual dengan semua orang. Penulis tidaklah tahu apa perkara yang diperbincangkan kerana hanya berada sebentar sahaja dihadapan beliau kerana meneruskan kerja. Bagaimana pun dipercayai mereka berbincang mengenai ban inilah agaknya.
Begitulah seorang ahli politik, anak raja, sanggup berjalan kaki meredah hutan sejauh kira-kira lapan kilometer semata-mata untuk meninjau masaalah keperitan hidup rakyat. Ketika itu, tahun 1967 tidak ada apa-apa kemudahan yang dinikmati oleh warga Telekong. Semua infrastruktur asas dalam kampung dibina sendiri tanpa satu sen pun mendapat bantuan daripada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.
Selang beberapa bulan kemudian, barangkali atas pertolongan Tengku Razaleigh, sekali lagi ban ini diperbaiki dan pada kali ini ia dinaiktaraf dengan menggunakan simen. Dan untuk beberapa tahun selepasnya, ban ini tidaklah mengalami kerosakan yang teruk setiap kali banjir.
Setiap hujung tahun, ketika musim tengkujuh - masa itu belum lagi dipanggil musim banjir - paras air Sungai Geh akan meningkat tinggi. Pada ketika inilah, kami budak-budak remaja berseronok sakan mandi di sungai ini. Panjat dahan pokok yang meruntai kearah sungai dan terjun tirok kedalam air. Budak-budak remaja perempuan pun tidak ketinggalan bersama-sama mandi dan pastilah kami bertambah seronok dapat menyakat mereka ini. Bagaimana pun kadangkala keseronokan kami tergendala apabila ada orang tua yang lalu dan ternampak kami sedang mandi manda, mereka menghalau kami balik kerumah kerana khuatir kami dihanyutkan arus.
Selain daripada menjadi sumber pengairan untuk sawah bendang, Sungai Geh juga merupakan sumber protein khususnya bagi penduduk Kampung Petanding yang menjadikanya sebagai tempat menangkap ikan. Pancing, taut, jail dan bubu adalah peralatan utama yang digunakan untuk menangkap ikan. Taut biasanya digunakan pada sebelah malam.
Pada musim kemarau, adakalanya air Sungai Geh ini kering langsung. Pada musim sebegini; kepada orang yang ahli dalam menjerat burung akan ke Sungai geh mencari saki baki lopak air yang tinggal. Di pinggiran lopak air ini mereka akan meletakkan getah yang melekit. Apabila burung memerlukan air untuk minum atau menyejukkan badan, mereka akan hinggap keatas getah yang dipasang ini dan bahagian kaki atau bulunya akan melekat pada getah tersebut.
Lebih kurang tahun 1967 juga Kampung Telekong telah mendapat sebuah masjid baru yang diperbuat daripada konkrit bagi menggantikan masjid lama yang kecil. Bahan binaan masjid ini iaitu pasirnya diambil daripada Sungai Geh. Itulah masjid yang tersergam di Dalam Kerawat itu didirikan daripada pasir Sungai Geh, masih tegap hingga sekarang.
Suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan lagenda Sungai Geh ini khususnya di persekitaran jambatan dan rumah Hashim Haji Mat ialah kisah seram yang menyelubungi kawasan ini. Disini dijadikan sebagai tempat membuang ancak dan hantu, memuja semangat dan pelbagai khurafat lain semasa era kejahilan dahulu. Bagi penduduk kampung, bila sahaja matahari terbenam, akan cuba seboleh-bolehhnya mengelak menggunakan laluan ini kerana takutkan hantu.
Sungai Geh sekarang ini masih mengalir tetapi nampak lesu dan semak samun di tebing kiri dan kanannya, tetap memberikan khidmatnya kepada penduduk kampung Telekong.
Comments (0)
Catat Ulasan