Otai Kampung Telekong Kuala Krai

Posted by tele | Posted in

Hari ini 18hb. Januari 2008, saya buka kotak email dan mendapati ada satu email daripada Sdr Dr Che Supian Mohamad Nor, Senior Lecturer School of Distance Education, Universiti Sains Malaysia 11800 Pulau Pinang, MALAYSIA. Terima kasih kepada sdr Dr Che Supian kerana respon saudara dan izinkan saya menulis selanjutnya berasaskan email saudara.

Saya berasa cukup bangga dan amat terharu sekali dengan kejayaan saudara dan seorang lagi seperti yang saudara maklumkan ia-itu saudara Dr Rosli bin Muhamad ia-itu anak kepada Mat Bachok.

Muhamad a.k.a Mat Bachok mengikut ingatan saya ada mempunyai beberapa orang anak ia-itu Mek Yah, Mahmud, Aminah dan seorang lagi anak lelaki yang saya tidak ingat namanya. Mungkin yang lelaki inilah yang bernama Dr Rosli (?) itu. Pak Mat ini bekerja di estet Pasir Gajah. Ia berasal dari Bachok, sebab itulah dia dipanggil Mat Bachok. Beliau merupakan orang pertama memilikki motosikal di kampung Telekong. Dia membeli sebuah motosikal jenis Honda Cub. Seminggu sekali Pakmat Bachok akan membasuh motornya di Sungai Geh dan kami budak-budak akan bersama-sama 'menyibuk' bersama beliau.

Dia juga antara tiga orang pertama yang memiliki radio di Kampung Telekong ini. Dua orang lagi ialah Tok ChikSoh Tok Mandur - bapa saudara kepada arwah Musa Pe'ah, bekas penghulu. Dan seorang lagi ialah Pakda Soh, jiran terdekat Pak Mat Bachok ini.

Tidak berapa lama beliau pakai Honda Cub, beliau telah menukar kepada motosikal yang lebih besar ia-itu Honda Bently 125cc. Semasa saya belajar di Sekolah Menengah Kampung Pek yang beroperasi di SK Jambu Lawar, saya selalu juga menumpang naik motor Pak Mat ini jika kebetulan dia balik dari pekan Machang. Tetapi tidak berapa lama lepas itu Pak Mat telah menjual motor ini kepada Hamzah dan saya rasa motosikal itu masih ada hingga sekarang ini.

Dalam siri terdahulu, ada saya tuliskan iaitu Aminah telah berkahwin dengan Mat Tahir, anak Tokchik Berahim. Rasanya mereka ini masih ada di Telekong. Mekyah pula telah berkahwin dengan seorang yang tinggal di Kampung Pemberian, dekat dengan Laloh.

Mengenai Pak Chek Tok Bilal ini, sampai hari ini saya tidak tahu nama sebenarnya. Yang saya tahu nama seperti itulah. Pak Chek Tok Bilal. Dan mungkinlah nama sebenarnya seperti sdr Dr Supian catatkan sebagai Muhamad Nor. Beliau ini rankingnya dalam kampung adalah setaraf dengan Tok Imam Daud, Pakda Tayib, Pak Chu Mahmud dan lain-lain. Kiranya VIP Kampung Telekong lah.

Pada zaman saya remaja, nama-nama diatas itu adalah cukup dihormati khususnya di Dalam Kerawat. Saya tidak pasti samada mereka masih ada atau telah mendahului kita semua.

Daripada maklumat yang sdr Dr Sufian sampaikan, saya rasa umur sdr sekarang ini ialah 39 tahun manakala Dr Rosli itu lebih tua sedikit. Bagaimana pun saya mengucapkan tahniah kepada saudara berdua kerana dalam usia yang masih muda telah berjaya memiliki Phd. dan ini patut dijadikan sebagai perangsang kepada generasi baru anak-anak Telekong.

Selamat majujaya dalam kerjaya.

Comments (0)