Nasib anak yatim kembar Kampung Telekong dapat perhatian
Posted by tele | Posted in
KUALA KRAI - Nasib dua beradik kembar dari Kampung Telekong, dekat sini, yang bergelar anak yatim selepas kematian ayah mereka akibat nahas jalan raya baru-baru ini, mendapat perhatian ahli jawatan kuasa (AJK) UMNO bahagian ini, Noor Yakin Che Ahmad.
Noor Yakin berkata, kembar berusia 10 tahun itu, Mohamad Alif Aiman Bonia dan Mohd Asyraf Akmal Bonia diberikan sumbangan menerusi zakat perniagaan serta zakat simpanan dia dan keluarganya.
“Saya harap, sumbangan zakat ini diharap dapat meringankan beban, terutama membantu mereka membuat persiapan menjelang musim baru persekolahan tidak lama lagi,” katanya selepas penyampaian sumbangan itu, di sini, semalam.
Majlis di rumah Ketua Kampung Baru Telekong, Mohamad Ibrahim atau Abang Zahari itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Mukim Telekong, Abdullah Abu Bakar.
Kembar anak bongsu daripada empat adik beradik itu menjadi yatim selepas bapa mereka, Bonia Yaakob, 54, maut akibat dilanggar kereta di Jalan Kuala Krai-Machang berhampiran kampung itu, 15 November lalu.
Emak saudara anak yatim itu, Kamariah Mat yang turut hadir berkata, nahas berlaku awal pagi ketika adik iparnya dalam perjalanan pulang selepas menghantar pasangan kembar itu ke sekolah.
Katanya, kematian Bonia amat membebankan kehidupan adiknya, Maznah Mat, 51, apabila terpaksa mengambil alih tugas menyara empat anak yang semuanya masih bersekolah.
“Sekarang dia (Maznah) nak keluar menoreh pun susah sebab dulu, arwah suami dia yang hantar ke kebun setiap pagi selepas balik daripada hantar anak ke sekolah.
“Nak tunggang sendiri motosikal, dia tak pandai, jadi sekarang ini susah nak pergi kerja sebab kebun getah jauh,” kata Kamariah.
Menurutnya, selain pasangan kembar itu, dua lagi anak Maznah ialah Nurul Syuhada, 13, dan Nurul Fatihah, 17, yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sementara itu, Abang Zahari berkata, dia baru memaklumkan kesusahan Maznah sekeluarga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) minggu lalu dan berharap ianya mendapat perhatian segera agensi berkenaan.
“Kalau boleh dapat bantuan bulanan untuk perbelanjaan sekolah kembar ini pun sudah cukup untuk meringankan beban,” katanya.
Comments (0)
Catat Ulasan