Korban Perdana sasarkan golongan miskin
Posted by tele | Posted in
10 DISEMBER 2008 - KUALA KRAI - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah akan menganjurkan program Korban Perdana sempena sambutan hari raya Aidiladha, dekat sini, Sabtu ini.
Pegawai Kemas daerah, Anua Yusoff berkata, program menyasarkan golongan miskin sekitar Kuala Krai itu akan berlangsung di Balai Raya Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kampung Telekong, bermula jam 8 pagi.
“Kita akan sembelih dua ekor lembu untuk dihidangkan pada majlis jamuan makan tengah hari, dan juga untuk diagihkan kepada golongan miskin yang sudah dikenal pasti.
“Tujuan utama program adalah untuk membantu orang miskin supaya mereka dapat turut sama merasai dan menghayati ibadah korban sempena Aidiladha,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Anua, program yang juga antara lain bertujuan merapatkan hubungan Kemas dengan masyarakat itu akan dimulakan dengan gotong-royong ibadah korban dan slot ceramah ketatanegaraan oleh penceramah motivasi agama, Ahmad Che Kob.
“Selain menghidupkan semangat gotong-royong, program juga bagi memberi peluang kepada pemimpin dan agensi kerajaan terlibat menyampaikan maklumat khususnya berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat,” kata Anua.
Anua berkata, majlis perasmian program dan pengagihan daging korban akan disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.
Katanya, program yang turut mengalu-alukan kehadi-ran semua lapisan masyarakat itu dijangka turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kemas Malaysia, Hassan Mohd Amin.
Comments (0)
Catat Ulasan