Kampung Telekong, Kuala Krai, Kelantan

Posted by tele | Posted in

Telekong sebenarnya merupakan gugusan beberapa kampung kecil di dalamnya ia-itu Kampung Petanding, Kampung Patak, Kampung Dalam Kelab, Kampung Dalam Huma, Kampung Bunut Payung, Kampung Becah Kecik, Kampung Becah Besar, Berek Hijau, kampung Hulu Geh dan Kampung Dalam Kerawat. Komponen kampung-kampung kecil ini membentuk Kampung Telekong. Nama-nama kampung kecil ini tidak dikenali di luar kawasan kampung ini, melainkan disebut Telekong, barulah semua pihak tahu dimana ia terletak.
Daripada nama kampung-kampung komponen ini, dua kampung mempunyai nilai sejarahnya tersendiri. Dua nama tersebut ia-lah Kampung Dalam Kelab dan Kampung Dalam Kerawat. Bagi generasi yang lahir selepas tahun 1960 kemungkinan besar tidak tahu bagaimana dua buah kampung ini mempunyai nilai sejarah tersendiri.


Kampung Dalam Kelab ini berada paling belakang sekali ia-itu di kawasan kaki bukit (apa nama bukit itu? Kalau tidak salah ingatan penulis ia-lah Bukit Kechik). Diriwayatkan sebelum Jepun menduduki Tanah Melayu, sekumpulan etnik Cina membuat penempatan di kawasan kaki bukit ini. Penulis tidak tahu apa aktiviti mereka tetapi mungkin bekerja sebagai pembalak. Oleh kerana tradisi etnik Cina bila berada dimana-mana pun mereka suka menubuhkan kumpulan atau persatuan atau kelab masing-masing atas pelbagai tujuan yang hanya mereka sahaja ketahui. Oleh kerana penempatan mereka itu belum ada nama, maka penduduk kampung sekitarnya menamakan kampung Cina itu sebagai Kampung Dalam kelab. Dan nama itu terus kekal hingga sekarang walau pun etnik Cina telah pun tiada dan kesan mereka pun telah hilang samasekali.

Bila sebenarnya etnik Cina ini meninggalkan Kampung Dalam Kelab ini tidaklah diketahui tetapi penulis percaya mereka keluar daripada kawasan ini semasa kekalahan tentera Jepun kepada British. Ini berikutan dengan kekalahan Jepun itu, kumpulan Bintang Tiga atau pun komunis mula muncul dikawasan pendalaman Kampung Telekong ini. Bagi membendung kegiatan komunis ini, kerajaan British telah mengambil tindakan memindahkan semua penduduk kampung seperti Kampung Patak, Dalam Kelab dan Petanding ke Kampung Dalam Kerawat. Di sekeliling kampung ini dipasang pagar dawai duri (kerawat) setinggi sepuluh kaki dan jarak antara satu dawai ia-lah enam inci. Tiangnya diperbuat daripada konkrit. Kampung Dalam Kerawat ini hanya mempunyai dua pintu keluar masuk yang dikawal oleh pasukan keselamatan yang dikenali sebagai Home-guard dan SC (special constable?).

Daripada ingatan penulis, ada tiga keluarga Cina yang dibawa tinggal dalam Kampung Dalam Kerawat ini. Salah seorang namanya ia-lah Mek Chong atau pun Mee Chong dan seorang lagi dipanggil Baba. Rumah Mek Chong ini ia-lah rumah kedai Allahyarham Zakaria ia-itu dikawasan mula-mula masuk kampung, sebelah kanan. Sebelum Zakaria menduduki rumah ini, ianya merupakan podok Polis yang pertama. Sebelum dijadikan pondok Polis, rumah ini dihuni oleh Cik Nikdah yang mengambilalih daripada Mek Chong.

Manakala Baba pula membena rumah yang semuanya dibuat daripada zing daripada bumbung hinggalah kepada dindingnya, di tepi jalan raya. Selepas baba tiada, tanah tapak rumah itu dibeli oleh seorang bernama Nik Kob. Baba ini memiliki sedikit ilmu perubatan moden dan boleh memberi rawatan seperti suntikan atau pil kepada pesakit. Dia bercermin mata tebal dan suka bertopi. Tahun-tahun awal 1960han, tiga keluarga Cina ini masih ada di kampung ini. Penulis tidak ingat bila mereka ini semua berhijrah keluar.

Pada masa ini, setahu penulis, ada satu keluarga Cina masih kekal tinggal di kampung ini ia-itu dipanggil dengan nama Ah Hong oleh orang ramai. Tidak diketahui samada ada Ah Hong ini ada hubungan keturunan dengan Mek Chong atau sebaliknya. Harap ada sesiapa yang berminat menemuramah asal usul si Ah Hong ini.

Selain tiga keluarga Cina yang tinggal di Dalam Kerawat, ada satu keluarga lagi yang tinggal di Kampung Che Wal. Nama ketua keluarga itu ia-lah Pak Sun. Dia pandai bersilat bahkan mengajar silat kepada budak-budak kampung. Penulis tidak pasti samada keluarga ini masih lagi bermastautin disitu. Terdapat satu orang etnik Cina lagi tinggal disebuah kebun getah berhadapan dengan rumah Haji Musa Mesin Padi. Kalau tidak salah ingatan penulis, dia dipanggil Tok Apek yang kerjanya menjaga rumah asap. Dia ini akhirnya memeluk ugama Islam hasil usaha Allahyarham Pak Mat Bukit dan menikah dengan Makcik Bidah. Pasangan ini tinggal ditepi jalan masuk Kampung Che Wal.

Pada asasnya Kampung Dalam Kelab dan Kampung Dalam Kerawat ini ada hubungkaitnya. ia juga berkait rapat dengan gerakan komunis.

Comments (0)