Syarikat Kerjasama Kampong Telekong
Posted by tele | Posted in
Bagi generasi baru Kg Telekong mungkin tidak pernah terdengar nama Syarikat Kerjasama Kampong Telekong. Apatah lagi mungkin tidak pernah terpikir pernah wujud sebuah syarikat kerjasama di kampong ini.
Syarikat Kerjasama Kampong Telekong ini sebenarnya adalah lambang kesatuan penduduk kampung ini. Ia adalah hasil inspirasi beberapa orang yang perihatin kepada masaalah memproses hasil padi yang ditanam saban tahun oleh semua penduduk.
Setiap ketua keluarga di kampung ini mengusahakan tanaman padi. Samada mengusahakan atas tanah milik sendiri atau pun menyewa - perkataan lazim ialah pawah - tanah milik orang lain. Bagi memproses padi untuk dijadikan beras, amatlah berat. Sungguh pun berat ia terpaksa dilakukan juga kerana beras diperlukan setiap hari sebagai makanan ruji.
Langkah pertama ialah menuai apabila buah padi telah masak. Pada masa itu kerja menuai dibuat melalui dua kaedah utama. Yang pertama menuai menggunakan ketam atau lazimnya disebut ketaman.
![]() |
![]() |
Majoriti yang melakukan kerja ini ialah wanita. Apabila segenggam tangkai padi yang berada dalam tangan kiri sudah penuh, ianya diikat. Satu ikatan ini dipanggil satu gemal.
![]() |
Gemal padi ini kemudiannya dikumpul dan diisikan kedalam cagak. Cagak mengandungi dua petak. Cagak yang berisi gemal padi ini kemudian dipikul oleh orang lelaki untuk dibawa balik kerumah bagi disimpan di dalam baloh.
![]() |
Satu lagi kaedah menuai padi ialah dengan cara perdu padi itu dipotong dibahagian bawah. Satu tong disediakan dengan tempat menghempas perdu batang padi bersekali dengan buah padi. Bila perdu padi dihempas keatas tempat menghempas yang ada didalam tong itu, buah padi akan tertanggal daripada tangkai dan jatuh berkumpul didasar tong atau disalurkan terus keluar tong, kedalam guni yang sedia ditadah diluar tong.
![]() |
Proses ini dipanggil memukul padi.
![]() |
Langkah seterusnya ialah membersihkan padi. Bagi padi yang dituai menggunakan ketaman, ianya perlu di hirek supaya buah padi tanggal daripada tangkainya. Selepas itu padi yang telah di hirek atau dipukul akan ditampi pula untuk mengasingkan saki baki tangkai yang ada.
Apabila selesai ditampi, padi akan dijemur di panas matahari supaya bila ditumbuk nanti kulit dan beras mudah terpisah. Biasanya masa yang digunakan untuk menjemur padi ialah mulai jam 11.00 pagi hingga waktu asar.
Proses seterusnya ialah mengisar padi. Alatan yang digunakan bernama kisaran. Kisaran ini merupakan mesin pemproses ciptaan orang Melayu. Ia diperbuat daripada buluh, tanah liat dan kayu. Apabila selesai mengisar, tahap perosesan dari padi kepada beras sekitar 60 peratus sahaja. Hasil prosesan ini perlu pula ditumbuk menggunakan lesong kayu supaya menjadi beras 100 peratus.
![]() |
![]() |
Lesong terdiri daripada dua jenis. Lesong tangan dan lesong hindek.
![]() |
![]() |
Lesong tangan memerlukan penggunanya menggunakan tangan untuk menghunjam alu kedalam lubang yang telah berisi campuran beras/padi atau padi 100 peratus. Manakala lesong hindek pula menggunakan kekuatan kaki untuk menghenjut batang lesung.
![]() |
Bagi lesong tangan, dua, tiga atau empat orang boleh melakukan serentak tetapi mesti berasaskan kebijakan menentukan masa giliran menumbuk. Bila ini berlaku, bunyi yang dihasilkan membentuk satu irama pula!. Lesong hindek juga boleh menggunakan lebih dari seorang.
Semua kerja memproses padi menjadi beras, bermula daripada mengetam, menghirek, menampi, menjemur, mengisar, menumbuk dan menampi sekali lagi dijalankan sepenuhnya oleh wanita. Ia mengambil masa yang panjang untuk melihat sebiji beras muncul.
Menyedari kesulitan ini, beberapa orang penduduk kampung mengambil inisiatif cuba mengumpul pendapat semua penduduk kampung bagi mencari jalan bagaimana untuk membeli sebuah kilang padi. Beberapa perbincangan telah diadakan sesama mereka dan akhirnya satu perjumpaan seluruh penduduk diadakan di masjid. Keputusan daripada perjumpaan itu maka diputuskan semua penduduk bersetuju menubuhkan sebuah syarikat kerjasama dengan cara menyumbangkan kewangan seberapa yang termampu bangi mengumpul modal untukmembeli sebuah kilang padi.
Hasil darpada permaufakatan itu terkumpulah modal yang mencukupi untuk membeli sebuah kilang padi pada harga dalam lengkungan RM3,000 hingga RM4,000. Penulis tidak dapat mengingati dengan jelas tahun berapa kilang padi itu menjadi kenyataan tetapi jika tidak salah ingatan penulis ianya mungkin sekitar tahun 1964 atau 1965.
Bangunan kilang itu didirikan diatas tanah PakMat Bukit, di jalan ke Kampong Che Wal.
Apabila kilang padi itu beroperasi, 70 peratus bebanan kaum wanita sudah terlepas. Operator tetap kilang itu disandang oleh Abdul Rahman TokMat Sah. Beliau dibantu secara giliran oleh setiap ahli syarikat.
Antara individu yang menjadi penggerak utama syarikat ini ialah Tok Imam Daud, Paksu Jusoh, Pok Nik Lah, Pak Da Soh, Paksu Lah Stawa, Tok Penghulu Lipah dan yang lain-lain lagi.
Kilang padi itu adalah simbol perpaduan penduduk Kampong Telekong pada era 1960han. Penulis tidak tahu bilakah kilang padi itu berkubur. Dan apa nasib syarikat kerjasama itu sekarang ini.
Comments (0)
Catat Ulasan