Haji Musa Kampung Telekong
Posted by tele | Posted in
Pertengahan bulan Mac 2010 yang lepas penulis ada balik ke Kg Telekong kerana menziarahi Allahyarhamah ibu saudara penulis yang meninggal dunia, di Kampung Che Wal. Beliau ialah Che Sepiah atau lebih dikenali sebagai Makyah. Ibu kepada Che Hasan.
Sebaik sahaja penulis sampai di sempadan Jajahan Kuala Krai/Machang, di sebelah kiri jalan didapati bendang Becah Kecik telah pun ditambak dengan tanah. Ikut ingatan penulis, kawasan yang ditambak itu bermula daripada tanah arwah Haji Musa mesin padi hingga ke rumah Abdullah, anaknya. Tanah ini dipecahkan lot untuk dijadikan tapak rumah. Maklumat lanjut mengenai pemaju tanah ini boleh dicapai di http://tanahlotmurah.com/?p=68. Ianya dinamakan sebagai Taman TAMAN ALFITYYAH PERDANA.
Penulis percaya bila taman ini sempurna dimajukan, ianya akan menukar wajah Kampong Telekong.
Bila menyebut Haji Musa mesin padi, penulis dapat mengimbau kembali dua perkara yang sangat berkait rapat dengan beliau.
Yang pertama beliau ada orang kedua yang memiliki kilang padi di Kg Telekong. Kilang padi milik beliau dari kategori sederhana besar. Ia dibena berhampiran rumahnya. Manakala sebuah kilang lagi dimiliki oleh Syarikat Kerjasama Kampong Telekong. Penulis akan menulis dengan lebih lanjut mengenai Syarikat Kerjasama Kg Telekong ini dalam entri yang akan datang.
Yang kedua mengenai Haji Musa ini ialah beliau merupakan satu-satunya orang yang menyediakan perkhidmatan pakaian pengantin, khusus untuk pengantin lelaki sahaja. Penulis yakin, setiap pengantin lelaki di Kampong Telekong ini pada era beliau, pastinya pernah mendapat perkhidmatan pakaian pengantin beliau untuk majlis persandingan. Haji Musa dibantu oleh anak lelakinya iaitu Abdullah. Abdullah yang mengenakan pakaian untuk pengantin dengan sedikit solekan manakala Haji Musa akan menjampi sedikit sbanyak untuk menaikkan seri pengantin disamping untuk menguatkan semangat semasa majlis persandingan.
Bila menyentuh mengenai majlis perkahwinan, sebenarnya ada rangkaian antara perkhidmatan pakaian pengantin dengan perkhidmatan jurugambar. Seperti satu kewajipan pula perkhidmatan jurugambar ditempah untuk mengambil gambar pengantin. Jurugambar ini boleh dikatakan profesional lah pada masa itu. Beliau ialah Encik Mohd Nor Tok Mandor Seman. Sama seperti Haji Musa, Mohd Nor juga pasti ada pada setiap majlis perkahwinan untuk tugasan penggambaran.
Juru gambar ini mendapat penghormatan yang amat tinggi semasa beliau menjalankan tugasnya. Sebelum beliau memulakan tugasnya, satu lorong khas disediakan dihadapan pelamin bagi kegunaan beliau mengambil gambar. Lorong khas ini dibina dengan membentang beberapa helai kain batik lepas yang dilipat selebar sehasta bermula daripada tangga pelamin hingga ke jarak jurugambar akan berdiri untuk mengambil gambar.
Setiap kali Mohd Nor mula menjalankan tugas menyenap gambar, riuh rendah majlis itu dengan latah dan gelak ketawa kerana terperanjat dengan sinaran lampu flash kamera yang macam api kilat. Kalau ada sepuloh orang yang latah, maka sepuluh gayalah aksi latah yang dapat disaksikan. Gegak gempitalah majlis kenduri itu.
Penulis akan menulis dengan lebih lanjut mengenai perlaksanaan majlis kenduri pada entri yang akan datang.
Berbalik kepada kemajuan Kampong Telekong, penulis sangat berharap kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong supaya dapat mencari idea yang lebih bagus untuk terus membangunkan kampong ini.
Manakala anak-anak Kampong ini yang berada di perantauan dan mempunyai idea yang boleh membantu meningkatkan samaada ekonomi penduduk atau pembangunan fizikal kampong, tolonglah bagi bantuan, bimbingan dan sebagainya demi untuk kemajuan kampong kita, Kampong Telekong yang indah ini.
Comments (0)
Catat Ulasan