Sejarah Masjid Kampung Telekong, Kuala Krai, Kelantan
Posted by tele | Posted in
Beberapa minggu yang lepas, ada pehak yang berasal dari Kampung Telekong, Kuala Krai, Kelantan ingin mendapatkan maklumat mengenai tapak masjid lama (sebenarnya dipanggil surau) Kampung Telekong dan diutarakan melalui Group Facebook Anak Kg Telekong.
Pelbagai respon juga dari warga Telekong di ajukan dalam facebook berkaitan dengan sejarah asal tapak masjid lama tersebut.
Penulis telah maklumkan berdasarkan pandangan penulis bahawa tapak masjid lama itu tidak diwartakan sebagai tapak rumah ibadat.
Bagi memastikan fakta sebenar terhadap tapak masjid itu, penulis telah membuat kajian dan siasatan dan di bawah ini adalah fakta yang ditemui.
ZAMAN DARURAT/KOMUNIS:
Selepas Jepun menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua, Pasukan Bintang Tiga (Komunis) telah merampas kuasa di Tanah Melayu sebelum tentera British kembali.
Pada masa itu terdapat sekumpulan etnik China di Kampung Dalam Kelab. Mereka ini dieksploitasi oleh komunis untuk membantu gerakan mereka. Selain etnik China ini, penduduk Kampung Patak juga menjadi mangsa komunis dengan memaksa mereka membelikan makanan, pakaian dan ubatan untuk anggota komunis yang berada disekitar hutan kampung Patak.
Bagi menyekat gerakan komunis ini, kerajaan British memutuskan untuk memindahkan semua penduduk Kampung Patak ke satu penempatan baru yang dipanggil Dalam Kerawat (Telekong Baharu).
Bagi tujuan tersebut kerajaan british telah mengambil balik tanah milik seorang penduduk iaitu Che Munah binti Wanik yang berhampiran jalan raya Kuala Krai Kelantan.
( Che Munah binti Wanik ialah isteri kepada Chikgu Ibrahim bekas setiausaha sulit Tan Sri Mohamed Yaacob semasa beliau menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan era 1980han hingga 1990. Tapak rumah Che Munah ini sebahagiannya adalah masjid yang ada sekarang ini di bahagian hadapan.)
Selepas itu kawasan tersebut telah dipecah lot untuk diagehkan kepada semua ketua keluarga yang dipindahkan daripada Kampung Patak. Antara mereka yang penulis masih ingat (mengikut gelaran nama) ialah:
1. Tok Imam Daud
2. Pakda Tayib (bilal)
3. Tok Che Wel
4. Pak Lah komunis
5. Tok Imam Droman
dan lain-lain (semua nama-nama diatas telah meninggal dunia - al fatihah untuk mereka)
Selain tapak rumah, layout kampung juga disediakan lot untuk tapak masjid dan juga tapak pejabat operasi SC (Special Constabel iaitu pasukan polis khas yang mengawal kampung itu) serta rizab jalan.
Keliling kampung baru ini dipagar dengan kawat duri setinggi lebih sepuluh kaki. Sebab itulah kampun ini dinamakan Kampung Dalam Kerawat.
(Tapak masjid lama pada masa ini ialah bangunan tadika di atasnya.)
Oleh kerana pada ketika itu tidak ada isu-isu berkaitan ugama, maka kerajaan british tidaklah menggazetkan lot tapak masjid itu sebagai tapak rumah ibadat.
Di atas tapak itu didirikan sebuah bangunan beratap zing, dinding papan dan lantai simen dan sebuah telaga digali, dijadikan masjid bagi Kampung Dalam Kerawat, Kampung Petanding, Kampung Dalam Huma serta Kampung Che Wal.
Bermula dari tahun-tahun 1947 sehingga tahun 1967 di masjid itulah segala aktiviti keugamaan dan juga mesyuarat-mesyuarat berkaitan pembangunan kampung seperti menubuhkan Syarikat Kerjasama Kampung Telekong diadakan.
Pada tahun 1967, sebuah bangunan masjid baru telah didirikan. Ianya didirikan di atas tapak bekas pejabat SC dan bekas tapak rumah Che Munah Che Gu Ibrahim. Setelah siap masjid baru ini, maka segala kegiatan ibadat telah dipindahkan ke masjid baru daripada masjid lama dan masjid lama dikosongkan.
Bagunan masjid lama kekal di tempat asalnya sehinggalah beberapa dekad kemudian, bangunan itu telah lenyap.
PEMILIKAN OLEH INDIVIDU KE ATAS TAPAK MASJID LAMA
Seperti yang dijelaskan diatas tadi, pehak kerajaan british tidak mewartakan tapak masjid lama itu sebagai tapak rumah ibadat. Setelah Malaysia merdeka pada 1957, kerajaan yang memerentah negeri Kelantan samaada kerajaan BN atau Pas juga tidak mewartakan lot tersebut sebagai tapak rumah ibadat.
Dengan situasi tersebut maka status lot tersebut kekal sebagai tanah kerajaan (state land) yang layak dipohon oleh sesiapa untuk memilikinya.
Sekitar tahun 1970han, ada sesorang telah memohon (bayar deposit) lot tersebut. Pemohon berkenaan tentulah seorang yang arif berkenaan dengan hal ehwal kampung. Beliau memohon untuk anak perempuannya.
Permohonan tersebut terpendam berpuluh tahun. Setelah kerajaan bertukar tangan daripada BN kepada Pas pada tahun 1990, permohonan tersebut kemudiannya diaktifkan balik. Beberapa tahun kemudian setelah permohonan itu melalui beberapa proses biasa di pejabat tanah Kuala Krai, maka ianya telah diangkat kepada Jawatan Kuasa Tanah Jajahan untuk pertimbangan kelulusan.
Jawatan kuasa berkenaan akhirnya meluluskan permohonan tersebut dan dengan itu lot tapak masjid berkenaan telah terdaftar menjadi hakmilik individu yang berkenaan.
Dari segi Akta Kanun Tanah Negara, pemilik berdaftar berkenaan adalah pada masa ini pemilik yag sah bai lot tersebut. Tidak ada mana-mana pehak yang boleh merampas tanah itu termasuk kerajaan sendiri, melainkan melalui proses Akta Pengambilan Tanah.
Tulisan ini tidak bertujuan menyebelahi mana-mana pehak melainkan semata-mata mencatatkan penemuan sejarah tapak masjid itu daripada bermula wujudnya Kampung Dalam Kerawat sehinggalah lot itu menjadi hakmilik seseorang.