Pekerja kilang papan cedera ditembak

Posted by tele | Posted in

30/09/2011 - Gara-gara bergaduh kerana hutang dadah, seorang pekerja kilang papan cedera ditembak di bahagian paha di Kampung Telekong, Kuala Krai, petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa yang berusia 35 tahun berasal dari Dabong itu, kini dirawat di Hospital Kuala Krai dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Setakat ini polis masih belum membuat sebarang tangkapan walaupun telah mengenal pasti suspek,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas kejadian itu yang berlaku kira-kira 6.30 petang, Jalaluddin berkata, pihaknya percaya kejadian berpunca daripada kegagalan suspek dan mangsa menyelesaikan hutang pembelian dadah jenis pil kuda. - Bernama

Yatim piatu sekelip mata

Posted by tele | Posted in

1 Oktober 2011 - KUALA KRAI (Sinar Harian) – Tiga beradik berusia enam, 14 dan 16 tahun menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di simpang masuk ke Kampung Che Wal, dekat Telekong, di sini, semalam.

Pada kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ismail Yaccob, 47, dan isterinya, Ruzainiah Mustapha, 37, maut selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kereta sebelum dirempuh sebuah kereta lain.

Pasangan yang tinggal di Kampung Pek, Machang itu meninggalkan tiga anak perempuan iaitu Siti Nurhafizah, 16, Siti Khairunisa, 14, dan Siti Nur Rasya Aleesya, 6.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, kejadian berlaku ketika Ismail dalam perjalanan dari arah Machang untuk menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah kilang papan di Kampung Che Wal, dekat Telekong.

”Ketika sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai secara cuai membelok untuk masuk ke simpang itu dan berselisih dengan sebuah kereta Kancil dari arah sama.

”Kejadian menyebabkan penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum dirempuh sebuah kereta Persona yang juga datang dari arah sama,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, Ismail berasal dari Kampung Pek, Machang dan Ruzainiah dari Kampung Che Wal, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah kepala.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Siti Nurhafizah berkata, ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali tidak membawa Siti Nur Rasya Aleesya bersama mereka ketika keluar rumah pagi semalam.

”Biasanya ayah akan bawa adik (Siti Nur Rasya Aleesya) sekali bila hantar emak pergi kerja tetapi semalam mereka hanya keluar rumah berdua sahaja,” katanya.

Siti Nurhafizah kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis, Pahang dan baru pulang ke kampung sempena cuti bulanan, kelmarin.

Siti Khairunisa pula pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan manakala Siti Nur Rasya Aleesya murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, Machang.

Polis rampas senapang, bahan letupan

Posted by tele | Posted in

28 Januari 2012 - KOTA BHARU- Polis Kelantan menahan tiga lelaki termasuk salah seorangnya warganegara Thailand dan merampas selaras senapang patah bersama sebutir peluru ketika memeriksa sebuah kereta Proton Satria di Jalan Doktor, dekat sini, malam semalam.

Tiga lelaki terbabit yang berusia 41 hingga 55 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, yang diketuai oleh Asisten Superintendan, Bashar Salam dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam selepas menerima maklumat orang ramai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebaik menahan ketiga-tiga suspek itu, polis turut menemui enam butir peluru jenis 12 Bore yang disorok di dalam beg kain.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bonet kereta terbabit, polis turut menemui satu rangkai bahan letupan buatan sendiri yang dilekatkan pada sekeping kain.

“Selain itu juga, tindakan pantas pegawai dan anggota yang kemudiannya turut menemui enam telefon bimbit di dalam kereta terbabit,” katanya.

Jalaluddin berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit masing-masing berasal dari Thailand, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu dan Kampung Telekong dekat Kuala Krai, itu ditahan reman tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 8A Akta Senjata api 1960; Seksyen 4 Akta Bahan Letupan dan Akta Imigresen terhadap warganegara Thailand kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan, ketiga-tiga lelaki terbabit akan melakukan jenayah berikutan senjata api serta bahan letupan yang mereka miliki itu.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini, salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah.