Pejuang Anti Komunis Di Kg Telekong
Posted by tele | Posted in
Pada hari raya Aidil Fitri 2010 yang baru lalu, penulis telah berkesempatan balik ke Kampung Telekong untuk sama-sama berhari raya bersama sanak saudara dan sahabat handai yang ada setelah beberapa tahun tidak berkesempatan untuk beraya dikampung.
Penulis juga membawa bersama semua anak-anak, menantu dan cucu, kecuali seorang anak penulis yang menetap di Perancis tidak dapat balik, untuk bersama-sama berhari raya. Kami tiba di Telekong pada hari Khamis, 9 September 2010, petang.
Penulis bersembahyang sunat Aidil Fitri di madrasah Kampung Petanding dan pada kesempatan itu, dapatlah bertemu muka dengan sahabat-sahabat lama. Khutbah disampaikan oleh Tuan Haji Nor bin Lembek.
Pada tengahari pula penulis bersembahyang Jumaat di Masjid Kampung Telekong dan berkesempatan bertemu mata dengan rakan-rakan lama.
Dalam suasana keceriaan berhari raya, penulis berkesempatan juga mencungkil beberapa fakta yang menarik dalam perbualan penulis dengan beberapa orang lama. Pada entri kali ini penulis ingin mengimbau kembali ke zaman dharurat dahulu dimana warga Telekong juga menerima kesan secara terus daripada kerenah anggota komunis.
Mengikut rekod sejarah, pasukan komunis cuba mempergunakan penduduk Kampung Patak bagi mendapatkan bekalan barangan yang mereka perlukan seperti bahan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan.
Mereka menawarkan ganjaran yang berkali ganda sebagai upah kepada sesiapa yang sanggup mendapatkan bekalan untuk mereka, umpamanya untuk sepasang kasut yang berharga $3.00, mereka akan berikan $15.00. Berikutan tawaran yang lumayan ini dan sebenarnya sebagai paksaan halus, mereka berjaya memaksa beberapa orang penduduk Kampung Patak sebagai agen pembekal barangan kepada mereka.
Diantara mereka ialah Pak tengah Yaacob dan Pak Lah. Kedua-dua mereka ini mendapat upah yang lumayan dan kerana kegiatan ini Pak Lah diberi gelaran sebagai Pak Lah Komunis.
Walau bagai mana pun, kedua-dua beradik ini menyedari kegiatan yang mereka jalankan itu adalah bersalahan dengan undang-undang negara. Namun untuk berhenti sebagai agen, nyawa mereka dan keluarga dan juga keselamatan seluruh penduduk Kampung Patak adalah dalam bahaya.
Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk melapurkan kedudukan anggota komunis ini kepada pihak berkuasa secara sulit.
Berikutan itu satu perbincangan telah diadakan dengan pasukan keselamatan untuk mengatur satu serang hendap terhadap anggota komunis itu. Tanggungjawab ini diserahkan kepada Pak Lah. Beliau telah menetapkan tarikh dengan anggota komunis yang perlukan barangan untuk hadhir ke rumahnya pada waktu malam jam 9.00 malam untuk mengambil bekalan.
Semasa beliau pergi ke Kuala Krai untuk membeli barangan yang dipesan oleh pasukan komunis itu, Pak Lah telah memberi maklumat berkenaan kepada pasukan polis. Setelah itu beliau pulang bersama barangan keperluan pasukan komunis dan menunggu saat yang telah ditetapkan.
Sekembalinya Pak Lah, pasukan keselamatan telah bergerak masuk ke Kampung Patak secara senyap. Mereka mengambil kedudukan di sekeliling rumah Pak Lah dan menunggu hingga hari malam tiba.
Tepat pukul 9.00 malam, Pak Lah keluar dari rumah dan memberi isyarat kepada anggota komunis supaya datang ke rumahnya bagi mendapatkan berangan yang dipesan. Pak Lah turun ke halaman rumah bersama barangan dan mendapati lima orang anggota komunis telah pun tiba. Sebaik sahaja barangan diserahkan kepada anggota komunis itu, Pak Lah telah memberi isyarat kepada pasukan keselamatan dan beliau terus merebahkan badan keatas tanah.
Serentak itu juga kedengaran tembakan senjata api yang berdentum dentam menghujani pengganas komunis itu. Pada masa itu Pak Lah tidak dapat hendak bayangkan perasaan takut dan gerun yang amat sangat. Takut terkena peluru tembakan pasukan tentera dan pada masa yang sama juga takut rancangan yang diaturkan gagal, beliau pasti akan menrima padah ditangan pengganas komunis itu.
Setelah tembakan berhenti, Pak Lah merasakan dirinya masih hidup dan perlahan-lahan mengalihkan pandangan kesekelilingnya. Kedengaran namanya dipanggil oleh sesorang dan dalam samar-samar kegelapan, beliau mendapati beberapa mayat bergelimpangan disekitar tempatnya meniarap itu. Setelah pasti bahawa yang datang itu adalah pasukan keselamatan, Pak Lah berusaha bangkit dari meniarap. Dia didatangi oleh pasukan keselamatan dan dimaklumkan bahawa lima orang anggota pengganas komunis berjaya dibunuh.
Kesemua mayat pengganas komunis itu dibawa ke rumah pasong Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya oleh pehak polis. Sementara itu, anggota tentera terus berkawal disekitar Kampung Patak bagi menjaga keselamatan penduduk.
Susulan daripada itu, bagi mengelakkan penduduk Kampong Patak menjadi mangsa tindakbalas pengganas komunis, pehak kerajaan telah mendirikan satu penepatan baru bagi meimndahkan seluruh penduduk Kampung Patak. Kawasan penempatan baru itu dipagar dengan kawat berduri dan dikenakan perintah berkurung pada waktu malam.

Penduduk hanya dibenarkan keluar daripada kawasan berpagar itu daripada pukul 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja. Keseluruhan kawasan itu dikawal oleh pasukan polis yang di panggil Special Constable atau sebutan ringkasnya SC.
Pasukan ini berkawal di pintu masuk dan keluar yang ada dua sahaja. Di ketuai oleh seorang anggota yang berpangkat Sarjan ia itu Sarjan Abdul Rahman. Beliau dikenali sebagai Serjan Deraman.

Penduduk mendapat bekalan makanan secara bercatu. Mereka diberi kopon dengan menghadkan barangan yang boleh dibeli berdasarkan jumlah bilangan isi rumah masing-masing. Mereka hanya dibenarkan membeli barangan disebuah kedai yang ditetapkan oleh pasukan polis di pekan Kuala Krai.
Dalam pada itu, seorang penduduk bernama Pak Su Abas telah ditahan semasa beliau balik daripada Kuala Krai kerana pehak polis mendapati beliau membawa barangan yang lebih daripada yang tercatat dalam kopon. Pihak polis mendapati dalam beg yang dibawanya terdapat beberapa tin susu yang mana barangan itu tidak tercatat dalam senarai kelulusan barangan yang perlu untuk keluarganya. Susu itu adalah untuk kegunaan bayi sedangkan dalam daftar ahli keluarga Pak Su Abas tidak ada kanak-kanak didaftarkan.
Pak Su Abas telah ditangkap dan ditahan di lokap rumah pasong Kuala Krai. Dalam rayuannya, beliau memaklumkan baru beberapa hari lepas beliau mengambil seorang kanak-kanak sebagai anak angkat dan tidak sempat untukmemakjlumkan kepada pasukan SC bertugas.
Satu siasatan yang diketuai oleh Sarjan Deraman telah dijalankan dirumah Pak Su Abas dan hasil siasatan itu mendapati memang ada seorang bayi dirumah itu. Berikutan itu Pak Su Abas dibebaskan daripada tahanan.
Tindakan kawalan yang amat ketat diambiloleh pasukan keselamatan adalh bertujuan supaya tidak ada barangan yang diseludup keluar dan sampai ketangan pehak pengganas komunis.
Kisah keberanian Pak Lah membantu pasukan keselamatan memghapuskan komunis menjadi satu sejarah bagi penduduk Kampung Patak dan Telekong. Dari insiden itulah beliau diberi nama jolokan sebagai Pak Lah Komunis.
Bagi generasi sekarang penduduk Kampung Telekong, sudah sangat jarang mengetahui tragedi bersejarah dimana di Kampung ini juga terdapat seorang insan yang sanggup berkorban keselamatan diri, keluarga dan kampungnya demi untuk mempertahankan negara daripada dijajah oleh pengganas komunis.
Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmatNya keatas roh beliau.